Tuesday, November 30, 2010

Silver Fly: Syarikat Penerbangan Tambang Murah Ketiga di Malaysia

Mungkin namanya tidaklah gah seperti Air Asia mahupun Firefly, tetapi inilah Silver Fly, syarikat penerbangan tambang murah ketiga yang baru bertapak kira-kira setahun yang lalu di bumi Malaysia. Syarikat penerbangan ini merupakan milik penuh kepada sepasang suami isteri iaitu usahawan di Negeri Perak. Syarikat Penerbangan Silver Fly ini ditubuhkan pada bulan September 2009 dan telah memulakan penerbangan sulungnya ke Medan Indonesia dengan kerjasama Riau Airlines dengan menggunakan pesawat Fokker 50 milik mereka. Namun pada 14 Februari 2010, Silver Fly telah menamatkan kontrak diantara kedua belah pihak. Buat masa sekarang juga, Silverfly telah bekerjasama dengan Speedsjet Sdn Bhd dan menyewa pesawat ATR 72-500 milik Berjaya Air Sdn Bhd untuk menjalankan operasi penerbangan mereka.

Silver Fly juga telah dilancarkan dengan rasminya pada 16 Mac 2010 yang lalu beserta laman web rasminya iaitu www.silverflyperak.com dan kad Privilege oleh Menteri Besar Perak, Dato Seri Dr Zambry Abd Kadir di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh Perak yang juga merupakan hub utama bagi syarikat penerbangan ini. Tambahan pula, Kerajaan Negeri Perak berhasrat untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) untuk menjadi menjadi sebuah lapangan terbang feeder untuk penerbangan serantau kerana perkembangnya industri penerbangan di Negeri Perak ini, sudah pasti akan menjadi platform bagi menarik pelancong untuk berkunjung ke Negeri Perak seterusnya akan menjadi salah satu daripada jaringan pengangkutan yang utama untuk berkunjung ke negeri ini. Sehingga kini, Silver Fly telah menjalankan operasi penerbangannya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang (SZB), Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu (KBR), Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia, Medan (MES) dan Lapangan Terbang Seletar, Singapura (XSP).

Menutut Pegawai Eksekutif Silver Fly Datin Ruby Hasim, pihaknya bercadang untuk membeli pesawat sendiri iaitu 3 buah pesawat A320 dengan kapasitinya 200 orang penumbang, pesawat ATR 72-500 dengan kapasiti 100 orang penumpang dan jet korporat bagi kegunaan ahli korporat. Tambah beliau lagi, pihaknya sedang berusaha untuk meluaskan pasaran penerbangan syarikat ini ke destinasi seluruh negara seperti ke Kota Kinabalu (BKI), Kuching (KCH), Labuan (LBU), langkawi (LGK) dan beberapa destinasi lain. Kewujudan syarikat penerbangan ini merupakan satu langkah bijak bagi meningkatkan taraf perhubungan dan perkhidmatan kepada para pengguna seterusnya melonjakkan Negeri Perak sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik di Malaysia. Syabas diucapkan kepada usaha murni Silver Fly ini. Semoga Silver Fly menjadi salah satu syarikat penerbangan yang terkenal dan menjadi pilihan di Malaysia seterusnya pada mata dunia.


No comments:

Post a Comment