Tuesday, December 7, 2010

Tragedi Tanjung Kupang: Pesawat MH653 "Daging berkecai di paya hangus"

Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS) apabila salah sebuah pesawat miliknya terhempas dan mengorbankan banyak nyawa termasuk orang kenamaan. Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan itu telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan paya bakau dekat Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor. Rangka pesawat itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya. Peristiwa yang berlaku 33 tahun lalu itu juga meninggalkan memori hitam kepada sejarah negara apabila ia turut mengorbankan Duta Cuba ke Malaysia yang pertama, Mario Garcia Inchaustegui dan isterinya, Gladys yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri seminar di Pulau Pinang. Berdasarkan kisah yang dinyatakan kepada umum, pada pukul 7.21 malam hari kejadian, pesawat Boeing 737 yang dikendalikan Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Subang. Sebelum sempat melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Subang, Ganjoor sempat memberitahu menara kawalan mengenai kehadiran pengganas di dalam pesawat yang sedang dikendalikannya. Selepas mengetahui perkara tersebut, pihak berkuasa Lapangan Terbang Subang segera mengosongkan laluan 33 bagi membolehkan pesawat Boeing 737 kendalian Ganjoor dan Kamarulzaman mendarat dengan selamat. Bagaimanapun, pesawat tersebut tidak sempat untuk melakukan pendaratan di lapangan terbang itu, sebaliknya Ganjoor bertindak terbang semula ke awan dan memberitahu menara kawalan yang dia diarahkan oleh pengganas untuk menuju ke Singapura. Kira-kira pukul 8.15 malam, pesawat yang membawa 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan itu hilang dari radar menara kawalan dan terhempas di sebuah kawasan hutan paya bakau di Tanjong Kupang, Gelang Patah.

Info tragedi
Pesawat: Penerbangan Malaysia MH 653
Dari: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
Destinasi: Lapangan Terbang Antarabangsa
Subang
Penumpang: 93 + (7krew)
Kematian: 100 orang
Jenis Pesawat: Boeing
737-2H6
Tarikh: 4 Disember 197
7

Selain mengorbankan Mario Garcia dan usahawan Jepun, Tomio Gotto, tragedi pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid; Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican serta dua pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime. Manakala antara nak kapal yang turut terkorban di dalam tragedi itu ialah Kapten juruterbang G.J Ganjoor, Pembantu kapten Kamarulzaman Jalil, Pramugara dan pramugari MAS, Karim Tahir, Onn Jaafar, Sharifah Sidah Syed Alsagoff, Azian Borhanuddin serta penumpang pesawat yang lain daripada pelbagai negara seperti Australia, Britain, Jerman, Thailand, Afghanistan, Singapura, Kanada, Amerika, Greece, Indonesia dan India.


Kronologi tragedi 4 Disember 1977:

7.21 pm : Pesawat boeing 737-2H6, MH 653 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
7.46 pm : Pesawat MH653 berada di ruang angkasa batu arang setinggi 4000 kaki
7.47 pm : Juruterbang melaporkan kepada pusat pengawalan penerbangan udara '653 going around' dan pusat menjawab '653 is cleared to land, surface wind calm' Juruterbang kemudian melaporkan sekali lagi kepada pusat kawalan dgn berkata 'overshooting'. sebuah kapalterbang yang menunda MH 653 bertanya 'whats your problem' dan dijawab 'we have an emergency on board'
7.50 pm : Pesawat MH 654 memberitahu 'maintaining 3000 coming over kl (beacon) in two minutes, hijacker on board' pusat menjawab 'cleared to land on runaway 33 with no delay' tetapi dijawab kembali 'we are now proceeding to singapore' dan 'understand message receive'. pusat menjawab 'message received, understood'
8.05 pm : Pusat kawalan mengarah kan pesawat MH 653 menghubungi kawalan trafik udara singapura dengan frekuensi radio singapura, pusat kawalan trafik udara di Kuala Lumpur membenarkan pesawat tersebut terbang setinggi 21000 kaki
8.12 pm : Pusat kawalan udara singapura membenarkan 653 turun ke paras 7000 kaki kemudian perhubungan pusat kawalan singapura terputus hubungan dengan pesawat 653
8.30 pm : Mengikut laporan polis kapalterbang tersebut berada di ruang udara tanjung kupang. Seorang mata-mata dan orang ramai yg berada di kawasan tersebut melaporkan kapalterbang itu kelihatan terbakar lalu menjunam tetapi naik semula.. dan di saat itu kapalterbang itu meletup dan selepas ia meletup di udara kapalterbang itu terhempas ke tanah dan meletup sekali lagi.


Bangkai pesawat MH 653 yang terhempas


Kawasan paya yang hangus, menjadi saksi kepada 100 nyawa yang terkorban

Pihak berkuasa sedang menjalankan operasi menyelamat


Kapalterbang itu terhempas di kawasan paya berdekatan dengan sebuah rumah yang baru mengadakan kenduri kahwin pada sebelah siangnya. Cebisan cebisan mayat bertaburan di dalam paya dan ada yang tersangkut di pokok. Cebisan mayat tersebut dikumpulkan di dalam plastik dan dikebumikan di perkuburan khas Jalan Kebun Teh Johor Bahru, kawasan ini diberikan oleh kerajaan Negeri Johor. Upacara pengkebumian dibuat mengikut adat dan ajaran agama islam, kristian, budha dan hindu, ia dilakukan pada pagi jumaat 9 disember.


Keratan akhbar pada tahun 1977



Daging Berkecai di "Paya Hangus" : MH 653 meninggalkan 1001 Misteri


Walaupun tragedi ini telah berlaku kira-kira 30 tahun yang lalu, namun segalanya masih meninggalkan 1001 misteri yang belum terjawab serta meninggalkan kesan yang mendalam kepada yang mengalami peristiwa itu, termasuklah penduduk-penduduk di Kampung Ladang, Tanjung Kupang dimana tapak asal berlakunya tragedi tersebut.

Rangka pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya. Kegemparan itu mengejutkan sekalian penduduk kampung nelayan di situ. Ada yang berkurung dan segera menutup pintu kerana ketakutan. Ada pula penduduk yang berani bergegas ke tempat kejadian.

“Saya ternampak gugusan api yang marak menyala di langit. Sejurus ia terhempas ke bumi, bergegar jadinya kawasan ini. Semua orang terdiam dan berdebar-debar,” ujar seorang warga Kampung Tanjung Kupang, Ahmad Puteh, yang sewaktu kejadian itu berusia 26 tahun dan masih bujang.Segalanya masih jelas dalam memori nelayan berusia 58 tahun itu. Menurutnya, hanya selepas setengah jam, baru dia nekad untuk melihat ‘raksasa’ apakah yang jatuh ke kampungnya itu.

Dalam gelap malam yang diterangi api yang masih marak, orang kampung sungguh terkejut apabila mendapat tahu yang jatuh itu adalah bangkai kapal terbang.

“Sebelum kedatangan pihak berkuasa, saya melihat beberapa orang kampung sibuk mengutip sesuatu di tanah. Duit berselerak macam daun pokok getah.

“Malah ada yang dapat kumpul hingga berguni-guni banyaknya,” katanya yang tidak berani mengambil, namun tidak menafikan bahawa sesiapa pun akan tergerak hati untuk memungut not-not kertas wang ringgit, yen Jepun, dolar Amerika dan pound sterling di sekitar kawasan tragedi.

“Saya dengar cerita, beg-beg yang berisi pakaian dan barang kemas pun dijumpai orang kampung. Bila tengok barang-barang macam itu, mereka pun ‘menyelit-nyelit’lah.

“Paling kecoh, apabila ada seorang yang ternampak cincin lalu ingin memungutnya secara diam-diam. Rupa-rupanya, cincin itu masih tersemat pada sebatang jari yang sudah putus!” kata seorang suri rumah, Zaiton Dol, 47, tentang tabiat rakus orang kampung.

“Entah siapa agaknya yang membawa wang tunai begitu banyak. Tapi bila difikirkan balik, memang ramai orang kenamaan dalam kapal terbang itu, kan? Mesti barang-barang itu milik mereka,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung yang teruja menceritakan kisah itu ialah Siti Rahmah Ismail, 39. Walaupun ketika kejadian dia baru berusia tujuh tahun, Siti Rahmah masih mengingati banyak perkara.

“Budak-budak disuruh tidak keluar dari rumah. Maklumlah, ibu bapa kami takut perkara buruk terjadi kepada kami. Keadaan semakin kecoh apabila pihak berkuasa dan keselamatan yang terdiri daripada anggota polis, tentera, bomba dan ambulans tiba tidak lama kemudian. Kerja-kerja menyelamat berlarutan ke lewat malam,” imbasnya.

Keesokannya, udara kampung menjadi tidak nyaman. Ramai yang terkejut apabila terjumpa atau ternampak dari jauh kecaian daging dan tulang manusia yang bersepah dan membusuk. Lebih meloyakan adalah apabila isi perut yang terburai dilihat tersangkut pada ranting dan dahan pokok bakau.

“Ramai yang tidak boleh tidur malam kerana dibayangi pemandangan itu. Apatah lagi mereka diganggu mimpi ngeri, terutama mereka yang telah mencuri simpan barang peribadi milik mangsa nahas,” kata Ahmad.

“Siapa yang mengambil milik orang pada malam kejadian, terimalah habuannya. Mereka tidak tenang. Sampai ada yang sakit seperti terkena badi hingga terpaksa dibawa berubat,” tambah Zaiton pula.

Ahmad mengakui, selama beberapa tahun, Kampung Tanjung Kupang terutama di kawasan tragedi itu seperti berhantu. Semua orang takut untuk melaluinya.

“Kalau menaiki motosikal di daratan atau menaiki bot di sebelah paya bakau itu, pasti akan terdengar suara-suara kelam seperti orang menjerit, meratap dan memekik meminta tolong.

“Penghuni rumah yang paling dekat dengan tempat kemalangan juga telah lama berpindah sejak tragedi itu berlaku,” kata Ahmad mengenai sebuah rumah tinggal yang terletak kira-kira 100 meter dari rebakan api bangkai MH653.


Kejadian Aneh rentetan Tragedi MH 653

Antara faktor pemula kisah yang disiarkan ini ialah cerita-cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh para pemandu teksi di sekitar Johor Bahru. Mereka menyebarkan cerita tentang kelibat wanita berpakaian seperti pramugari pada waktu malam di jalanan sekitar Jalan Kebun Teh dan juga di Gelang Patah, Johor.

“Wanita itu meminta dihantarkan ke salah satu destinasi itu. Kawan saya pernah terkena sebelum ini. Apabila ditanya wanita itu kenapa dia mahu turun di tempat yang gelap dan bukan kawasan perumahan, wanita itu tiba-tiba ghaib dari tempat duduk penumpang.

“Ada pula yang sempat dijawab wanita itu. Katanya, ‘bang, saya nak cari tangan saya yang putus’. Gugur jantung saya,” cerita seorang pemandu teksi, Yusof Mohamad, yang menggeleng-gelengkan kepala sambil berdoa dirinya tidak diuji dengan pengalaman seperti itu.

Antaranya lagi ialah kisah kisah seorang pemandu teksi mengambil penumpang wanita muda bersama seorang anak kecil di kampung itu, tidak jauh dari kawasan kemalangan. Penumpang berkenaan meminta dihantar ke Jalan Kebun Teh iaitu tanah perkuburan khas bagi menempatkan mangsa tragedi.

Apabila sampai di situ, wanita itu meminta keluar sebentar untuk menziarah makam dengan menumpangkan anak kecilnya di tempat duduk hadapan teksi.

Bagaimanapun, sebaik berpaling melihat wanita itu berjalan ke arah makam, anak kecil di sebelah tempat duduknya bertukar menjadi batu nisan dan wanita itu turut ghaib.

Ramai orang di bandar raya Johor Bahru maklum tentang kisah seram tersebut. Sama ada mendapat respons ketawa atau rasa takut yang melampau, ia sebenarnya merantai ingatan mereka terhadap sebuah tragedi dahsyat yang pernah berlaku lebih tiga dekad lalu.

Sehingga kini, tidak ada pokok termasuk pokok bakau dapat hidup di kawasan kapal terbang terhempas itu.

Ketua Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Abu Bakar Mohd Ali , 58, berkata beliau masih teringat kira-kira lima hari selepas kejadian, dia menerima kedatangan seorang pelanggan, seorang anggota polis hutan yang membeli barangan keperluan di kedai runcitnya.

Beliau berkata, ketika itu, dia perasan, wang yang digunakan untuk membeli barangan adalah wang kertas RM5 yang banyak ditemui di lokasi kemalangan serta berbau darah.

"Saya mengesyaki wang berkenaan milik mangsa yang terbabit dalam nahas itu. Saya mencium wang berkenaan untuk memastikannya selepas pelanggan berkenaan meninggalkan kedai dan saya yakin ia berbau darah," katanya.

Abu Bakar berkata, berikutan kejadian itu, dia menjadi gelisah dan tidak dapat tidur semalaman.

“Bagaimanapun apa yang menakutkan ialah bayangan lembaga hitam mengganggunya sehingga dia berasa seolah-olah ada benda berat menindih badannya.

"Saya tidak dapat melihat dengan jelas lembaga hitam itu sama ada lelaki atau perempuan. Bagaimanapun, saya percaya ia disebabkan saya menerima wang milik mangsa kemalangan berkenaan.
"Kejadian itu menyebabkan saya menjadi seperti tidak tentu arah dan sentiasa terperanjat hampir seminggu," katanya.

Seorang nelayan, Sulaiman Othman, 58, berkata kawasan nahas berkenaan berhampiran sebuah pangkalan nelayan.

Katanya, dia sering berulang-alik di kawasan itu termasuk pada hari kejadian apabila turun ke laut untuk menangguk udang kira-kira jam 7.30 malam bersama dua lagi rakan.

"Kira-kira jam 8.45 malam, kami terdengar bunyi bising. Pada mulanya, kami ingat bunyi kapal terbang Singapura menjalani latihan. Bagaimanapun, bunyinya pelik dan berdesing seperti wisel.

"Tidak berapa lama kemudian, kami melihat sebuah pesawat terbang rendah dan terdengar bunyi dentuman sebelum satu letupan kuat dan api menjulang beberapa puluh meter ke udara," katanya.

Sulaiman berkata, kejadian itu menyebabkan pelbagai dokumen dan barangan turut tercampak ke laut.

“Saya amat terkejut dan bersama seorang rakan kembali ke darat untuk melihat apa yang terjadi. Saya dapati pelbagai barangan bersepah berhampiran tempat kejadian seperti pakaian, makanan, kertas dan sebagainya.

"Kami juga melihat satu daripada sayap kapal terbang berkenaan tercacak pada benteng manakala tayar di kawasan bakau. Selain itu, banyak wang kertas RM5 turut ditemui bertaburan di atas tanah serta perut manusia.

"Semua mayat sudah hancur dan tidak lagi kelihatan bentuk. Apa yang kami dapat lihat ketika itu hanya gumpalan daging saja," katanya.

Beliau yang dipercayai penduduk kampung pertama sampai di tempat kejadian mendakwa menemui ikan kurau kering masih elok di dalam sebuah bakul yang biasa dibawa masyarakat Cina pada masa itu.

Katanya, tidak lama kemudian, satu helikopter dari Singapura sampai di tempat kejadian dan mula menyuluh ke tempat kejadian.

"Mereka juga mengikuti pergerakan kami di lokasi berkenaan untuk tempoh beberapa minit menyebabkan kami meninggalkan lokasi berkenaan.

"Mungkin mereka menyangka kami antara mangsa terselamat dalam nahas berkenaan,"katanya yang mendakwa tidak lama kemudian berpuluh-puluh ambulans dan jentera bomba datang ke tempat kejadian untuk membantu mangsa nahas.

Sulaiman berkata, tiga hari selepas kejadian, dia memasuki kawasan tragedi dan cuba mengambil sebelah kasut kulit yang ditemui di tempat kemalangan berkenaan.

“Saya sungguh terkejut apabila mendapati ada kaki manusia di dalam kasut berkenaan. Saya juga ada mendengar cerita seorang penduduk kampung mengambil kasut di kawasan kemalangan tetapi terpaksa memulangkan semula apabila tidak dapat tidur," katanya.


Memorial Peringatan mangsa Tragedi tanjung Kupang masih dilawati oleh saudara-saudara mangsa sehingga kini di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru


Sebuah puisi mengenai peristiwa berdarah ini juga telah ditulis

Sesungguhnya tragedi MH 635, Tanjung Kupang merupakan tragedi yang merupakan sejarah hitam kepada negara kita dan juga kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) itu sendiri. Walaupun telah hampir 3 dekad peristiwa ini berlaku, namun ianya masih segar dan menjadi misteri sehingga hari ini. Sesungguhnya kejadian tersebut tidak dapat kita elakkan, sebagai manusia kita haruslah jadikan ia sebagai tauladan dan menjadikan ia sebagai panduan di masa hadapan. Kita haruslah redha dengan setiap perkara yang telah ditentukan oleh maha Esa. Apa yang boleh kita lakukan ialah kita harus berdoa agar kita dijauhkan dari bala bencana seperti itu. Marilah kita sedekahkan al-Fatihah kepada mangsa-mangsa tragedi. Semoga roh mereka bersemadi dengan aman....

Al-Fatihah....


4 comments:

  1. Tue la kan, sedar x sedar tragedi sejarah penerbangan di negara kita lagi dasyat, nak buat camane, dah takdir..

    ReplyDelete
  2. hari ini sekali lg mas terhempas setelh 37 tahun

    ReplyDelete
  3. MH 370 bukan terhempas tapi masih hilang.

    ReplyDelete